بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰن ٱلرَّحِيم
Demi masa. Sesungguhnya semua manusia didalam kerugian. Kecuali yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta kesabaran.
(Surah Al-‘Asr)
___________________________________________________

Kenyataan Akhbar Kali Kedua Yusri di Kuala Lumpur?





Sumber : mStar Online

Saya bersimpati Rohaizat terus dihentam, seorang baik - Yusri


Kenyataan 20 Ogos bertujuan taudalan, bukan hukuman

KUALA LUMPUR: Bekas rakan kongsi firma guaman Rohaizat Othman, Yusri Isahak hari ini berkata, beliau bersimpati dengan rakannya itu - calon Barisan Nasional - yang kini teruk 'dihentam' pembangkang dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pasir berikutan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau dijadikan 'kambing hitam' dalam isu pembatalan lesen peguam sivil dan penggunaan wang koperasi.

Pada sidang media kedua sejak 20 Ogos lalu, Yusri menjelaskan, beliau membuat kenyataan tempoh hari semata-mata untuk mempertahankan dirinya dan menjelaskan perkara sebenar.

Namun sejak itu, pelbagai tohmahan telah dilemparkan terhadap Rohaizat yang dilihat menyimpang daripada tujuan asalnya.

"Saya tidak berniat untuk menganiaya atau menyokong sesiapa. Apa yang terjadi harus dijadikan teladan, bukan hukuman. Secara tidak langsung, saya merasa dibabitkan sama dalam usaha memburuk-burukkan Rohaizat.

"Tetapi apabila Rohaizat dikeji sedemikian rupa, saya merasa bertanggungjawab untuk menjelaskan kedudukan saya selanjutnya dan juga menyampaikan apa yang saya rasa.

"Saya tidak boleh berdiam diri melihat kenyataan saya tempoh hari digunakan tanpa henti terhadap Rohaizat, seorang manusia yang saya kenal secara peribadi adalah seorang yang baik hati," katanya.

Khamis lalu, Yusri, 39, mendakwa beliau dijadikan "kambing hitam" berhubung isu pembatalan lesen peguam sivil Rohaizat dan menyatakan urusan firma guaman mereka itu dilakukan dengan persetujuan Rohaizat.

Yusri berkata, media kedua hari ini diadakan kerana tidak mahu melihat Rohaizat terus dihentam parti pembangkang.

Isu Rohaizat mendominasi kempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang sedang berlangsung.

Kempen bermula Isnin lalu manakala pengundian adalah pada Isnin ini.

Kenyataan itu dibuat berikutan dakwaan yang mengatakan Rohaizat terlibat dalam penyelewengan melibatkan transaksi jual beli tanah yang diuruskan oleh Yusri bagi pihak Koperasi Pekebun-pekebun Getah Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Yusri berkata, beliau tetap mempertahankan kenyataan yang dibuatnya sebelum ini.

Bagaimanapun tegasnya, Rohaizat telah pun membetulkan kesilapan itu dan koperasi juga telah menarik kembali tuntutan mereka.

"Jika orang seperti Rohaizat dibiarkan dikeji dan dirosakkan nama baiknya semata-mata untuk kepentingan politik, akan hancurlah hidup seorang lagi manusia yang boleh membawa perubahan kepada masyarakat setempat," katanya.

Beliau turut menafikan beliau dibayar oleh mana-mana pihak untuk mengeluarkan kenyataan berhubung Rohaizat sama ada kenyataan Khamis lalu atau hari ini.

---------------------------------------------------------------------------------------------

Kenyataan Penuh Sidang Media Yusri Isahak - 23 Ogos 2009 di Kuala Lumpur


Tujuan saya untuk bertemu pihak media adalah untuk menjelaskan beberapa kekeruhan yang timbul akibat penampilan saya minggu lalu. Saya mendapat banyak reaksi dan spekulasi daripada pelbagai pihak. Jadi saya tampil untuk menjelaskan bahawa kenyataan akhbar tersebut diadakan dengan iniasiatif saya sendiri dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dan ianya dibuat untuk membersihkan nama baik saya dan keluarga.

Untuk itu, saya mempertahankan segala kenyataan yang saya buat sebelum ini. Di pihak saya, saya menganggap kes ini sudahpun selesai. Namun apa yang saya perhatikan, sejak 20 Ogos yang lalu, pelbagai tohmahan telah dilontarkan yang mana menyimpang daripada tujuan asal saya membuat kenyataan akhbar. Keadaan ini membuatkan saya terpanggil untuk membuat sidang akhbar ini kerana saya merasa sedih melihat serangan-serangan peribadi yang dilakukan terhadap Rohaizat.

Secara tidak langsung saya merasa dibabitkan sama di dalam usaha-usaha memburuk-burukkan Rohaizat. Tetapi apabila keadaan semakin buruk dan Rohaizat dikeji sedemikian rupa, saya merasa menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan kedudukan saya selanjutnya dan juga menyampaikan apa yang saya rasa.

Saya tidak boleh berdiam diri apabila melihat kenyataan saya tempoh hari digunakan tanpa henti terhadap Rohaizat, seorang manusia yang saya kenal secara peribadi adalah seorang yang baik hati. Saya juga sedar walaupun dia telah melakukan kesilapan, dia telah membetulkannya dan pihak Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang juga telah menarik balik tuntutan mereka terhadapnya. Saya tidak berniat untuk menganiaya atau menyokong sesiapa. Apa yang telah terjadi harus dijadikan tauladan, bukan hukuman.

Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, Rohaizat adalah kawan saya, saya tahu hati budinya dan dia anak jati Permatang Pasir. Dia sendiri telah lama menabur bakti di sini. Jika orang seperti Rohaizat dibiarkan dikeji dan dirosakkan nama baiknya semata-mata untuk kepentingan politik, akan hancurlah hidup seorang lagi manusia yang boleh membawa perubahan yang baik kepada masyarakat setempat.

Semasa saya tampil ke hadapan tempoh hari ialah kerana saya merasa marah dan kecewa kerana saya dijadikan kambing hitam di dalam kes yang membabitkan Koperasi itu. Kerana itu kenyataan terbuka dibuat semata-mata untuk mempertahankan diri saya dan menjelaskan apa yang telah berlaku. Malangnya, usaha saya untuk menjelaskan kedudukan saya di dalam kes itu telah digunakan untuk menghentam dan memburuk-burukkan Rohaizat habis-habisan.

Saya yakin akan timbul tuduhan bahawa saya mendapat ganjaran dan habuan untuk tampil membuat kedua- dua kenyataan akhbar ini. Sebanyak mana wang dan harta dunia sekalipun tidak akan dapat membeli saya untuk menggadai bangsa, agama dan negara saya.

Sebagai seorang Islam dan warganegara yang bertanggungjawab, saya cuma ingin menyatakan apa yang berlaku, tanpa takut atau mengharapkan balasan ataupun dieksploitasikan oleh mana-mana pihak. Saya percaya rakyat mengharapkan budaya politik yang sihat dan mencerminkan kematangan bangsa yang telah merdeka selama 52 tahun. Pembangunan dan kestabilan negara yang telah dicapai selama ini tidak harus dilupakan begitu sahaja.

Tujuan kenyataan akhbar saya ini bukanlah untuk mendapat publisiti atau untuk mana-mana pihak mengeksploitasi apa yang terjadi. Bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru semua pihak agar sama-sama bermuhasabah diri dan menghindarkan sengketa sesama kita. Janganlah kita keji-mengeji, hina-menghina, fitnah - memfitnah sesama Islam kerana ia akan mendatangkan perpecahan yang boleh mengancam kepentingan kita bersama.

Percayalah, di dalam bulan Ramadan yang mulia ini apa yang saya lakukan adalah kerana desakan hati nurani saya.

Sekian terima kasih.

--------------------------------------------------------------------------------------------

* Apa yang teman lihat seolah-olah Yusri ini tertekan dengan apa yang berlaku. Teman rasa beliau terpaksa melakukannya kerana bimbangkan keselamatan dirinya dan keluarga. Kerana pada sidang media pertama beliau telah terlepas cakap bahawa beliau masih tinggal di Pulau Pinang. Tambahan pula beliau ada menyebut yang beliau adalah seorang pengundi bagi Parlimen Tasek Gelugor. Tentunya peluang ini kemungkinan diambil oleh pihak tertentu bagi mendesak beliau. Tambahan pula beliau ini teman baru dapat tahu adalah orang kampung berdekatan kediaman rumah mertua teman. Cuba lihat dan bayangkan, mengapa boleh dah ada di Kuala Lumpur begitu cepat sekali. Memang dasyat la.


0 comments:

Malaysiakini