بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰن ٱلرَّحِيم
Demi masa. Sesungguhnya semua manusia didalam kerugian. Kecuali yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta kesabaran.
(Surah Al-‘Asr)
___________________________________________________

Ingat, calon 'underdog' boleh bawa kejutan - Mat Sabu [mStar Online]

PEMILIHAN PUSAT PAS pada kali ini memperlihatkan tumpuan beralih kepada kerusi Timbalan Presiden. Tiga calon memutuskan untuk merebut jawatan nombor dua parti itu: Nasharuddin Mat Isa iaitu penyandang jawatan, dan dua Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu. Dalam parti mereka bukan muka baru.

Mohamad Sabu atau lazimnya dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau menerima hakikat yang beliau memang calon ‘underdog’. Namun kadangkala calon ‘underdog’ juga boleh menang, katanya ketika ditemui mStar Online.

Ikuti temu bual bersama beliau bersama NURUL AIN MOHD HUSSAIN.

MSTAR Ini kali pertama menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden, apakah faktor yang mendorong bertanding jawatan tersebut?

MOHAMAD SABU Perkembangan PAS muktahir ini terutamanya selepas terbentuknya Pakatan Rakyat. Orang-orang bukan Islam mula mendekati PAS dan menghormati pemimpin-pemimpin PAS seperti Tok Guru Nik Aziz, kehebatan beliau memerintah dengan penuh tanggungjawab, tidak terlibat dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan tidak membina kekayaan untuk peribadi dan kaum keluarga.

Orang Cina terutama sekali amat benci dengan isu rasuah dan politik wang kerana saya pasti mereka adalah pembayar cukai paling besar di negara kita. Orang Melayu pun ada bayar cukai tapi ia lebih kepada cukai secara tidak langsung. Mereka (orang Cina) merasakan sudah tiba masanya mereka mencari alternatif lain untuk mencari parti memerintah baik dan selepas piliihan raya umum ke-12 Mac lalu, mereka melihat Pakatan Rakyat merupakan alternatif yang terbaik.

Jadi untuk lebih mendekati orang-orang bukan Melayu, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), ahli sukan, golongan belia, golongan seni dan budayawan saya menawarkan diri untuk memainkan peranan dalam bidang itu untuk membawa mereka bersama dengan PAS. Selepas Presiden (Datuk Seri Hadi Awang) berjaya mendapat sokongan NGO dan beberapa pertubuhan Islam. Saya lihat saya boleh membantu Presiden untuk menambah sokongan bukan Islam, seniman dan sebagainya. Kebetulan saya terlibat secara tidak langsung dalam Gerakan Mansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bersama-sama Sasterawan Negara, Tan Sri A. Samad Said, saya boleh memainkan peranan dalam nidang ini untuk meluaskan pengaruh PAS.

MSTAR Bagaimana melihat saingan tiga penjuru untuk merebut jawatan Timbalan Presiden, sedangkan Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Husam Musa dilihat sebagai calon ‘favourite’ untuk memenangi jawatan tersebut?

MOHAMAD SABU Saya tidak mahu komen hal mereka. Ini keputusan saya, saya telah tawarkan diri. Saya yakin akan dapat sokongan daripada ahli PAS sendiri khasnya di Pantai Barat amat memberangsangkan terutamanya untuk meningkatkan sokongan masyarakat bukan Melayu.

MSTAR Ada yang melihat pendirian Ustaz dalam isu-isu tertentu lebih liberal berbanding Ustaz Nasha dan Datuk Husam sendiri. Apa komen?

MOHAMAD SABU Saya tak mahu membandingkan dengan orang lain. Saya melihat orang bukan Melayu mereka menggemari cara dan pendekatan yang saya gunakan. Saya mudah digauli dengan pemimpin-pemimpin DAP, golongan NGO dan Parti Keadilan. Ini bukan sahaja soal parti ia juga turut melibatkan peribadi seseorang individu itu. Itu sebabnya saya menawarkan diri dalam bidang yang saya rasa saya boleh memainkan peranan.

MSTAR Ada kemungkinan Ustaz sendiri berkompromi dengan Datuk Husam atau Ustaz Nasha dalam persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden PAS dalam pemilihan kali ini?

MOHAMAD SABU Sekarang ini saya bertanding secara bersendirian tidak ada pakatan politik dengan mana-mana calon. Saya atas kapasiri diri sendiri.

MSTAR Bagaimana dengan sokongan yang diterima setakat ini?

MOHAMAD SABUAlhamdulillah bagus sekali. Memang orang kata saya calon ‘underdog’ namun kadangkala calon ‘underdog’ juga boleh menang... Itu kita kena ingat.

MSTAR Apakah visi dan misi Ustaz jika memenangi jawatan Timbalan Presiden?

MOHAMAD SABUPAS perlu bergerak mendokong gerakan massa. Jika PAS hanya mengharapkan kepada sokongan orang Melayu semata-mata, kita akan dapat memerintah Kelantan dan Terengganu secara sahaja. Jadi untuk melebarkan pengaruh kita perlu berkerjasama dengan kaum-kaum lain dan pertubuhan NGO. Dalam masa yang sama, perjuangan kita menentang isu rasuah, nepotisme, penyalah gunaan kuasa perlu diteruskan kerana dalam semua agama, perkara-perkara yang diperkatakan itu sangat ditegah dan kita menghormati orang yang berprinsip, ini yang perlu diketengahkan.

Ulama-ulama PAS perlu muncul untuk menjadi pimpinan ummah kepada sekalian rakyat merentasi kerangka sebagai parti Islam kepada parti yang boleh diterima oleh apa jua kaum tanpa mengira apa jua fahaman agama yang dianuti oleh mereka.

MSTAR Adakah Ustaz merasakan isu penahanan Ustaz oleh pihak polis dalam beberapa perhimpunan seperti Gerakan Mansuh ISA, PPSMI dan sebagainya memberikan ‘nilai politik' kepada Ustaz?

MOHAMAD SABU Saya akan teruskan kerana untuk mendapatkan demokrasi, keadilan, kita kena hadapi benda-benda ini. Oleh keran itu, saya dipilih oleh Presiden untuk mengetuai bahagian demokrasi mobilisasi yang bermaksud mendapatkan hak berhimpun, hak bersuara, kebebasan akhbar. Hal ini pula ia berkaitan dengan pertubuhan NGO yang lain seperti Suaram... sebab itu program saya dalam PAS adalah bersama-sama dengan pertubuhan NGO berkenaan, itu yang kena tangkap selalu.

MSTAR Bagi jawatan Timbalan Presiden PAS ia melibatkan saingan tiga penjuru, adakah perkara ini akan menimbulkan perpecahan di kalangan ahli-ahli parti?

MOHAMAD SABUPAS Tidak.. tidak. Saya sendiri, berkali-kali kalah dalam pemilihan Naib Presiden sebelum ini (sebelum tahun 2007). Bagi saya ia bukan menjadi satu masalah, sebab kita yang menang jawatan bukan dapat apa pun yang kalah pun bukan dapat wang berjuta... PAS bukan guna wang, ia hanya saingan kepimpinan bukan saingan untuk menindas kawan yang tewas. PAS bukan parti seperti itu..

MSTAR Bagaimana pula dengan isu yang mengatakan dalam PAS ada dua kumpulan iaitu kumpulan ‘Erdogan’ dan kumpulan pro-muzakarah, sejauh mana kebenaran isu ini?

MOHAMAD SABU Itu yang akhbar yang melabelkan sedemikian. Dalam PAS, kami tidak ada kumpulan-kumpulan tertentu, semua ahlinya sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.

Isu bertemu dengan sesiapa itu tidak menjadi masalah, saya sendiri sentiasa bermuzakarah dengan ahli-ahli Umno dan DAP di lapangan terbang dan sebagainya, tetapi apa jua bentuk perbincangan dalam bentuk keputusan tentulah ia keputusan parti. Isu penubuhan kerajaan perpaduan dan sebagainya perlu di bawa dan dibincangkan dalam muktamar.

MSTAR Isu politik wang ini sejauh mana kebenarannya, adakah ia akan memberi imej yang negatif terhadap PAS?

MOHAMAD SABU Saya tak nampak perkara itu berlaku dalam PAS. Saya lihat ini satu usaha untuk menyamakan PAS dengan Umno barangkali. Kalau ia ada, saya tidak akan bertolak ansur, tapi saya yakin ia tidak ada dalam PAS.

MSTAR Adakah kepimpinan ulama akan terus menunjangi PAS atau golongan profesional atau golongan aktivitis dan sebagainya wajar diberikan ruang untuk memperkasakan PAS?

MOHAMAD SABU Saya seorang yang mendokong kepimpinan ulama. Misalnya Majlis Syura Ulama itu jika ditawarkan kepada saya, saya akan menolaknya kerana saya tak mampu dan saya bukan orangnya. Pemimpin dalam Majlis Syura yang memandu PAS dari sudut disiplin dan dasarnya. Bahkan saya mahu Majlis Syura itu diperkukuhkan sampai peringkat Majlis Syura boleh memecat Presiden jika dia dilihat menyeleweng daripada perjuangan PAS. Jadi saya amat mendokong kepimpinan ulama. Tapi bagi jawatan Presiden dan ke bawah itu adalah jawatan eksekutif, yang terbuka, boleh terdiri daripada golongan ulama mahupun profesional. Janji dia bertakwa dan yang menjaga kesucian agama Islam. Ia patut lebih terbuka dalam isu ini.

MSTAR PAS semakin diterima di kalangan masyarakat bukan Islam, adakah ini akan membawa perubahan dari aspek perjuagan dan halatuju PAS selepas ini?

MOHAMAD SABU Peranan PAS tidak akan berubah. Pandangan orang bukan Islam terhadap PAS telah jauh berubah. Media baru telah memberi persepsi yang berbeza kepada golongan muda. Kita sentiasa membuka ruang. Kelab Penyokong PAS pada ketika ini pun jumlah keahliannya sudah mencecah puluhan ribu. Jadi di sinilah tugas Majlis Syura untuk menentukan mereka (ahli Kelab Penyokong PAS) akan diterima sebagai ahli PAS atau tidak.

MSTAR Harapan ustaz menjelang Muktamar PAS kali ini?

MOHAMAD SABU Saya serah kepada perwakilan untuk menilai saya dari sudut prestasi dan lain-lain. Mereka yang akan menentukan, saya tidak ada tawaran yang lebih, tambah kalau duit tak ada langsung. Insya-Allah saya yakin untuk menang.

Sumber : mStar Online

0 comments:

Malaysiakini