بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰن ٱلرَّحِيم
Demi masa. Sesungguhnya semua manusia didalam kerugian. Kecuali yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta kesabaran.
(Surah Al-‘Asr)
___________________________________________________

Ibu Kugan Saman Polis, Kes Rampas Tisu Anak

Sumber : MalaysiaKini

Ibu kepada A Kugan yang mati dalam tahanan polis Januari lalu hari ini memfailkan permohonan untuk membatalkan waran geledah di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bulan lalu.

Dalam permohonannya itu, N Indra memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan waran Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 6 April lalu yang membenarkan polis menggeledah Jabatan Patologi PPUM.

Indra juga meminta mahkamah memerintahkan kesemua barang yang didapati daripada penggeledahan itu, termasuk dokumen berkaitan dan sampel tisu badan anaknya dipulangkan kepada PPUM.

Peguamnya N Surendran mengumumkan perkara itu dalam sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di ibu negara pagi ini selepas membuat permohonan tersebut.

Indra yang kelihatan sebak sepanjang sidang media singkat selama 15 minit itu turut ditemani suaminya G Ananthan dan aktivis NGO pemantau kepolisan Police Watch, S Jayathas.

Surendan memberitahu pemberita, anak guamnnya juga memohon perintah-perintah lanjut yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Indra menamakan pegawai penyiasat kanan polis Petaling Jaya, ASP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar sebagai responden pertama dan ketua polis daerah itu, ACP Arjunaidi Mohamed sebagai responden kedua.

Manakala pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zini dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan masing-masing responden ketiga dan keempat.

Dalam afidavit sokongan, Indra berkata polis tiada hak merampas barang-barang tersebut kerana ia merupakan bedah siasat persendirian yang ditangggung sendiri bayarannya.

Menurutnya lagi, pengeluaran waran geledah dan tindakan polis merampas beberapa barangan berkaitan bedah siasat itu "menyalahi undang-undang".

Tindakan polis itu juga menyebabkan laporan bedah siasat di PPUM tidak dapat diselesaikan, tambahnya.

Sementara, Ananthan masih berharap kes anaknya disesaikan secepat mungkin kerana "tidak tahu lagi hendak buat apa".

"Ya, nyawa (Kugan) sudah pergi, yang pergi sudah pergi, kita cuma mahu keadilan sahaja," katanya kepada Malaysiakini.

Kugan didapati mati ketika disoal siasat dalam tahanan polis pada 20 Januari lalu akibat pukul. Sebelum kematiannya, mangsa ditahan lima hari berhubung kes kecurian kereta mewah.

Bagaimanapun bedah siasat pertama yang dibuat di Hospital Serdang sehari selepas kematiannya mendapati mendiang meninggal dunia disebabkan paru-paru berair.

Tidak berpuas hari dengan keputusan itu, pada 25 Januari, keluarganya mengambil inisiatif mengadakan bedah siasat kedua di PPUM dengan dibiayai oleh ahli parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

* Diharapkan kes sebegini dipercepatkan prosidingnya, janganlah memilih kes-kes tertentu sahaja. Diharapkan juga maruah PDRM dan pihak yang berkaitan dapat diperbaiki dengan lebih efektif lagi. Rakyat semakin meluat melihat walaupun memahami sebahagiannya hanya menerima dan menunggu arahan pihak tertinggi.

0 comments:

Malaysiakini